Graduate

Daisypath Graduation tickers

~Perjalanan Hidupku~

Lilypie Kids Birthday tickers

Thursday, March 20, 2014

Tujuh Pemuda yang Beriman

Bismillahirrahmanirrahim. Kelmarin telah berlangsungnya Majlis Tadarus Al-Quran Peringkat Daerah Tuaran. Saya menjadi guru pengiring merangkap jurulatih perserta bercerita perempuan. terima kasih kepada pihak sekolah kerana memberi ruang dan peluang kepada saya untuk menimba pengalaman berharga ini. 

Saya berminat untuk berkongsi teks bercerita yang dibawa oleh anak didik saya.


بسم الله الرحمن الرحيم
Tercatat sudah dalam sejarah
Tujuh pemuda yang beriman
Melarikan diri ke dalam gua
Demi menyelamatkan iman

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh .....
Yang dimuliakan;
Tuan pengerusi yang petah berbicara
Panel hakim yang arif sentiasa
Penjaga masa yang siap siaga dengan randiknya

Tak molek, jika ada alu, tiada lesungnya,
Tak berguna, kalau ada dayung, tiada sampannya,
Dan tak lengkaplah cerita,  kalau tiada tajuknya

Tajuk cerita saya pada pagi yang berbahagia ini ialah kisah tujuh orang pemuda yang beriman.
Menurut ahli sejarah, kisah ini berlaku pada zaman sebelum kedatangan Islam, di satu negeri bernama Afsus yang terletak di Turki. Asalnya penduduk negeri itu beriman kepada Allah. Namun keadaan berubah selepas kedatangan seorang raja bernama Diqyanus. Raja ini menyembah berhala dan memaksa rakyat di bawah pemerintahannya supaya murtad daripada agama Allah yang menjadi anutan mereka. Rakyat yang takut dengan ancaman dan seksaan raja yang zalim itu ramai yang telah murtad.
Namun, ada tujuh pemuda beriman yang tidak mahu tunduk dengan ancaman raja yang zalim itu. Mereka tetap teguh mempertahankan aqidah mereka walaupun menyedari bahawa nyawa dan diri mereka akan terancam. Akhirnya mereka dipanggil mengadap raja yang zalim itu. Di hadapan raja yang zalim itu, mereka dengan penuh berani dan bersemangat berhujjah mempertahankan iman dan prinsip aqidah ilahi yang mereka yakini. Allah telah berfirman di dalam surah al-Kahfi ayat 14 yang menceritakan tentang sebahagian peristiwa mereka berhujjah:



Yang maksudnya : “Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata : “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripadanya.
Lihatlah kawan-kawan! Walaupun masih muda, mereka mempunyai keberanian yang sangat tinggi untuk mempertahankan hak dan prinsip yang mereka anuti. Namun apa yang berlaku pada pemuda-pemudi hari ini, mereka terlalu mudah untuk terpengaruh dengan budaya barat yang menyesatkan seperti black metal, skinhead dan sebagainya lagi yang boleh merosakkan aqidah. Na`udzu bilLahi min dzalik.

Tersebutlah kisah suatu cerita,
7 pemuda bersatu hati,
Melarikan diri ke dalam gua,
Beratus tahun ditidurkan Ilahi.


Baiklah kawan-kawan, nak tahu selanjutnya? Walaupun telah mendengar hujjah pemuda-pemuda beriman itu, namun, raja yang zalim itu tetap tidak mahu mengaku kalah, dan mengancam pemuda-pemuda beriman itu dengan hukuman bunuh ataupun dimurtadkan secara paksa. Kerana sayangkan aqidah dan agama mereka, pemuda-pemuda beriman itu telah membuat keputusan untuk melarikan diri dan bersembunyi di dalam sebuah gua di sebuah kawasan pergunungan bernama Nikhayus. Firman Allah di dalam surah al-Kahfi ayat 16 :

Maksudnya: Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah selain Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu.
Namun, kawan-kawan jangan menganggap mereka sebagai penakut kerana melarikan diri daripada raja yang zalim itu. Mereka melarikan diri ke gua itu, supaya mereka tetap boleh bebas menjalankan agama yang mereka anuti tanpa sebarang gangguan.
Apa yang berlaku selanjutnya ya? Di dalam gua itu, Allah telah menidurkan mereka dengan nyenyak. Allah ingin menzahirkan bukti-bukti kekuasaan-Nya kepada hamba-hamba-Nya dengan mentakdirkan pemuda-pemuda ini tidur dalam jangka masa yang amat panjang.

Disangka tidur hanya sehari
Rupanya 309 tahun
Zaman berubah beberapa kurun
Di bumi bersejarah Urdu

Tidak lama kemudian Allah bangkitkan mereka dari tidurnya, dan membuatkan mereka tertanya-tanya sesama sendiri.

“Berapa lama kita tidur?”
”Mungkin kita tertidur seharian atau separuh hari”
”Allah jua yang lebih mengetahui” 
Firman Allah dalam Surah Al Kahfi ayat :

Ertinya  : Dan mereka tinggal dalam gua mereka tiga ratus tahun dan ditambah sembilan tahun (lagi).
Mereka perlu makan, jika tidak makin mudarat jadinya nanti. Semasa salah seorang daripada mereka yang bernama Tamlikha pergi ke kota itu, ia merasa hairan melihat keadaan kota dan penduduknya berubah sama sekali. Penduduk kota pula merasa hairan melihat wang perak yang dibawa oleh Tamlikha ialah wang zaman dahulu yang sudah tidak laku lagi. Ia dituduh menjumpai harta karun lalu dibawa mengadap raja yang beriman.
Semasa dia dibawa berjumpa dengan raja itu, ia menceritakan kisah yang dilaluinya dan teman-temannya. Maka raja tersebut memuliakannya dengan setinggi-tinggi penghormatan.
Kemudian dia pulang kepada teman-temannya dan menceritakan peristiwa yang dialaminya. Mereka berasa bimbang perkara itu akan menyebabkan mereka disembah dan diagungkan oleh orang ramai. Oleh itu mereka berdoa memohon kepada Allah agar dicabut roh-roh mereka. Maka Allah memakbulkan doa mereka. Orang ramai yang datang untuk berjumpa dengan mereka mendapati mereka semua telah meninggal dunia.
Sampai di sini sahajalah dapat saya sampaikan kisah pemuda-pemuda beriman yang digelar “Ashaabul Kahfi”.
Antara pengajaran yang boleh dipetik daripada kisah ashabul kahfi ialah:
1- Tanda kekuasaan dan kudrat Allah tiada batasan dan sempadan.
2- Bermesyuarat dan berbincanglah untuk mencari jalan penyelesaian sesuatu masalah.
3- Allah SWT membantu hambaNya yang bertawakkal dan berharap kepadaNya.

Mari menyuluh di dusun kuini
buahnya lebat  sejak dahulu
jari sepuluh disusun kini
andainya tersirat kata terlalu.

Sekian,  wabillahi taufik wal hidayah wassallamu alaikum warah matullahi wabarakatuh.

No comments :

Post a Comment